INI JURNAL SAYA UNTUK DIKOMEN......UNTUK ILMIAH KHASNYA............
http://www.ipbl.edu.my/inter/penyelidikan/seminarpapers/2003/abhalimUKMkk.pdf
Hubungan antara masjid dengan pendidikan dalam Islam amat sebati dan tidak boleh dipisahkan. Semenjak zaman permulaan Islam lagi penyebaran ilmu dan pendidikan bermula dari masjid. Semasa perkembangan keagungan Islam, bermula dari zaman Nabi Muhammad saw sehingga zaman khilafah Islamiah (Umaiyah-Usmaniah), telah banyak masjid telah didirikan bagi tujuan pendidikan kepada masyarakat Islam di samping peranannya sebagai pusat ibadah, pentadbiran dan kemasyarakatan. Sistem pendidikan Islam telah menjadikan masjid sebagai pusat pendidikan yang utama. Contoh paling jelas ialah Universiti Al-Azhar iaitu universiti tertua dalam sistem pendidikan Islam yang berasaskan kepada pendidikan masjid.
Keadaan yang sama juga wujud di Asia Tenggara dimana masjid menjadi pusat utama dalam sistem pendidikan Islam bagi masyarakat Islam setempat. Di samping itu, pengajian pendidikan Islam juga berlaku di rumah-rumah tok-tok guru di mana ibu bapa menghantar anak-anak mereka untuk mempelajari asas-asas Islam. Sistem ini semakin berkembang dan bilangan pelajar juga semakin bertambah. Keadaan ini menyebabkan
1
masyarakat setempat mengambil usaha untuk mendirikan surau yang berhampiran dengan rumah tuan-tuan guru bagi memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung (Abdullah, 1989). Surau-surau ini menjadi pusat pengajian agama serta ibadah masyarakat setempat, dan di samping itu juga ianya menjadi pusat kemasyarakatan. Maka, surau atau musolla yang saiznya lebih kecil daripada masjid mempunyai hubungan yang sangat penting dengan perkembangan pendidikan Islam di Malaysia.
Perkembangan dalam pendidikan Islam telah memberi kesedaran kepada keperluan pembinaan tempat bagi pelajar-pelajar menunaikan solat di waktu persekolahan. Hampir semua sekolah di Malaysia, khususnya sekolah-sekolah di bawah bantuan kerajaan, yang mempunyai pelajar-pelajar Islam mempunyai surau atau musolla mereka sendiri. Kemudahan surau ini membolehkan pelajar-pelajar menunaikan tanggungjawab mereka sebagai seorang Islam di samping melaksanakan aktiviti-aktiviti keagamaan di sekolah.